Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya
sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hamba-Nya. Orang yang
malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa
kebaikan kepadanya di akhirat.
Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : "Tahukah
engkau siapakah orang yang mandul." Berkata para sahabat : "Orang
yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak." Lalu Rasulullah SAW berkata
: "Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi
anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal
dunia." - (Maksud Al-Hadith )
1. Kesilapan pertama: Kurang berdoa
Kurang berdoa semasa
mengandung.
Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung
ialah Saidul (penghulu) Istighfar Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali
'Imran, 3 : 8-9) Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 :
38) Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)
Kurang berdoa semasa
membesarkan anak.
Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah
Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 :128) Doa
diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74) Doa
supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.
2. Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib
(menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti: menakutkan
anak-anak dengan sekolah, menakutkan dengan tempat gelap, menakutkan dengan
hutan rimba atau bukit bukau, menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh
anak tidur.
3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak,
tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak, terlalu memfokuskan anak-anak
kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.
4. Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif seperti
mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa
marah). Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.
5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang
antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual). Ramai
yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani
6. Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua
anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium
mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium
Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra' bin Habis At-Tamimiy
sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra' : "Ya Rasulullah! Aku
mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari
mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra' kemudian berkata : "Siapa
yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."-(Maksud Al-Hadith Riwayat
Bukhari dan Muslim)
7. Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan
kurang kemas. Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang
menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh
atau berpakaian seksi dihadapan anak-anaknya.
8. Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas.
Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi
pemalas dan selekeh.
9. Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah
seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya.
Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari
salam yang diberi.
10. Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di
tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan
tujuan mendidik adalah satu sunnah.
11. Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan
model yang cemerlang seperti para ulama' dan orang-orang yang berhemah tinggi dan
berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah,
kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.
12. Kesilapan keduabelas: Bertengkar di depan anak-anak. Ini
akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari
ibubapanya.
13. Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok
sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri
ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik
kepada anak-anak yang masih membesar.
14. Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi
rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video[1]. Pengawasan
dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini
menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan
perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh
merosakkan agama anak-anak.
15. Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada
pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa kitalah yang akan
disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu
kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan
Islam.
Sumber : Darulharis
SHARE DI WALL ANDA BERKONGSI ILMU DENGAN RAKAN-RAKAN

No comments:
Post a Comment