Kajian pakar-pakar psikologi mendapati cara-cara dan
strategi yang digunakan oleh lelaki dan wanita apabila mereka menangani masalah
adalah berbeza. Perbezaan strategi yang mereka gunakan itu muncul dalam
komunikasi mereka. Perkara itu juga sering menimbulkan masalah komunikasi
antara suami dan isteri.
SEMUA orang menghadapi masalah. Kajian pakar-pakar psikologi
mendapati cara-cara dan strategi yang digunakan oleh lelaki dan wanita apabila
mereka menangani masalah adalah berbeza. Perbezaan strategi yang mereka gunakan
itu muncul dalam komunikasi mereka. Perkara itu juga sering menimbulkan masalah
komunikasi antara suami dan isteri.
Ada pakar psikologi yang percaya sesetengah konflik boleh
membawa kebaikan dan mereka gunakan istilah �konflik
yang membina� bagi
menerangkan jenis-jenis konflik seperti itu. Tetapi ada pula pakar-pakar
psikologi yang mengatakan tidak ada konflik yang kononnya �membina� dan semua konflik pada
dasarnya merosakkan. Memang dalam konflik ada kebaikan dan ada keburukan,
tetapi jumlah keburukannya lebih banyak daripada jumlah kebaikannya.
Selain daripada itu, keburukan-keburukan itu adalah lebih
serius dibandingkan kebaikan yang mungkin ada. Lagipun, apa-apa kebaikan yang
mungkin didapati dalam konflik, ia boleh didapati dengan cara-cara lain, bukan
dengan cara berkonflik.
Ada orang mengatakan konflik boleh membuat suami isteri
saling faham-memahami. Tetapi, kita boleh menjadi saling faham-memahami tanpa
perlu berkonflik. Terdapat banyak cara-cara lain yang boleh membuat kita saling
faham-memahami antara suami isteri. Namun, sekiranya konflik tidak dapat
dielakkan, ada beberapa panduan berkonflik yang apabila dipatuhi, ia dapat
mencegah konflik itu daripada merebak menjadi pertengkaran dan pergaduhan
serius.
1. Pertama, jangan bertengkar di depan orang lain. Apabila
bertengkar dan bergaduh di depan anak-anak, orang gaji dan adik-beradik atau
ipar-duai, tidak boleh tidak, perbuatan itu akan mencetuskan macam-macam
masalah lain:
a. Kerana ada orang lain, kita mungkin berbohong demi
menjaga air muka kita sendiri. Perbuatan berbohong akan menyebabkan pasangan
kita sangat sakit hati dengan pembohongan yang kita ucapkan itu. Kita mungkin
berbohong dengan cara tidak mahu mengaku perkara yang sebenar kerana perkara itu
memalukan kita sendiri. Sebagai contoh, kita mungkin memang pergi ke bomoh,
tetapi kita tidak mengaku kerana malu.
b. Kerana kita bergaduh di depan orang, kita mungkin
terdorong untuk menang dengan apa cara sekalipun. Jadi kita sanggup bergaduh
sampai kita menang, walaupun sebenarnya kita bersalah. Lebih buruk lagi
daripada itu, kerana bergaduh di depan orang, soal menang jadi soal yang sangat
penting, buka lagi soal mencari penyelesaian kepada masalah yang ada.
c. Kerana hendak menang, kita sanggup menggunakan cara-cara
yang sangat tidak adil dan sangat negatif. Sebagai contoh, kita sanggup
menghentam sifat-sifat peribadinya.
d. Kita juga jadi takut terhadap apa kata orang-orang lain
yang menyaksikan ataupun mendengar pertengkaran kita itu, jadi kita akan
lakukan perkara-perkara demi menjaga apa pendapat mereka, bukan demi
menyelesaikan masalah yang ada. Demi menegakkan benang yang basah, kita sanggup
menjatuhkan air muka pasangan kita, asalkan sahaja air muka kita sendiri tidak
jatuh.
2. Kedua, jangan bertengkar dan bergaduh berkenaan
perkara-perkara yang tidak mungkin boleh diselesaikan. Contoh-contoh perkara
yang tidak akan boleh diselesaikan ialah:
a. Perkara-perkara lama
Banyak suami isteri bertengkar berkenaan perkara-perkara
lama. Walau berapa lama sekalipun kita bertengkar mengenai perkara-perkara yang
sudah terjadi, ia tidak akan mungkin dapat diselesaikan. Pertengkaran jenis ini
adalah sia-sia sahaja. Ia hanya memburukkan lagi masalah yang ada.
b. Kaum keluarga
Ini adalah bahan pertengkaran yang paling berbahaya. Tidak
ada orang yang boleh menang apabila bertengkar berkenaan soal kaum keluarga.
c. Perkara-perkara yang tidak dapat kita kawal
Banyak perkara memang mustahil kita kawal. Jadi jangan
bertengkar dan bergaduh berkenaan perkara-perkara seperti itu. Sebagai contoh,
kita tidak akan boleh mengawal apa orang lain kata. Tidak ada orang yang boleh
mengawal mulut orang lain. Jadi jangan bergaduh kerana apa orang lain kata,
atau apa orang lain akan kata.
d. Soal prinsip
Ini satu lagi perkara yang tidak ada gunanya
dipertengkarkan. Tidak ada siapa yang mahu mengalah dalam soal-soal prinsip.
Tidak ada orang yang percaya prinsip pegangan mereka salah. Jadi jangan cuba
memberitahu pasangan kita prinsip hidupnya salah.
3. Kenal pasti apakah sebenarnya perkara yang menjadi punca
pergaduhan kita. Kerap terjadi, lain perkara yang menjadi masalah, lain pula
perkara yang digaduhkan. Sebagai contoh, perkara sebenar yang menyakitkan hati
kita ialah perbuatan suami yang suka membuat keputusan yang melibatkan wangnya
dengan sendiri-sendiri sahaja, tidak mahu bercakap dengan kita dahulu.
Umpamanya, suatu hari kita dapat tahu dia membelikan kepada
ibunya peti ais. Kita sakit hati lalu kita mengkritik dia dengan mengatakan
ibunya tidak memerlukan peti ais. Akibatnya pertengkaran pun tercetus. Kalau
suami kita cuba menyelesaikan soal peti ais ibunya itu sekalipun, ia sia-sia
sahaja, kerana soal peti ais itu hanyalah �alasan� sahaja. Isu sebenarnya ialah
kita sakit hati terhadap cara dia membelanjakan wang gajinya. Peti ais ibunya
itu hanyalah alasan yang kita gunakan untuk menyerang dia kerana rasa tidak
puas hati kita terhadap sikapnya itu.
4. Jangan bergaduh melainkan pasangan kita bersedia
mendengar kita bercakap. Sebagai contoh, jangan bergaduh waktu malam apabila
suami hendak tidur. Jangan bergaduh semasa suami penat. Begitu juga jangan
bergaduh apabila suami mempunyai banyak masalah lain.
5. Apabila bertengkar, pisahkan antara �masalah� dengan �orang�. Kesilapan ini sangat kerap berlaku, di mana
kita bukan cuba menyelesaikan masalahnya, sebaliknya kita cuba menyelesaikan
orangnya. Orang tidak akan boleh diselesaikan. Tetapi selalu sahaja, apabila
hendak menyelesaikan masalah, kita kritik, kutuk dan hentam orangnya. Kita
percaya kalau orang itu dapat kita �selesaikan� maka masalah itu pun akan
selesai juga. Ini tidak benar. Kita boleh selesaikan masalah, tetapi kita tidak
boleh selesaikan orang. Masalah ada penyelesaiannya, tetapi orang tidak ada
penyelesaiannya. Jadi, fokuskan perhatian kepada masalah, bukan kepada orang.
6. Jangan bergaduh dengan membela dan mempertahankan
kedudukan masing-masing. Semua orang ada kedudukan. Ada orang kedudukannya
ialah sebagai suami, atau isteri, atau ketua, atau ibu, atau kekasih, atau
tunang dan lain-lain. Apabila bertengkar jangan menegakkan kedudukan sendiri.
Perbuatan itu tidak berguna dalam mencari penyelesaian masalah yang
ditengkarkan.
"Saya isteri awak. Tentulah saya ada hak untuk tahu, ke
mana pergi duit gaji awak?" (x)
"Saya suami. Awak jangan cabar saya." (x)
"Apa gunanya saya jadi isteri awak, kalau awak tidak
boleh beri saya kesenangan?" (x)
"Bukankah saya suami? Sudahlah saya beri awak makan,
takkanlah saya kena gosok baju saya sendiri tiap-tiap pagi?" (x)
"Kita suami isteri. Apa salahnya kalau awak serahkan
semua gaji awak biar saya yang jaga?" (x)
Apabila kita menegakkan kedudukan kita, kita asyik membela
diri kita sahaja. Akibatnya kita tidak mahu bertolak-ansur dan lebih kurang.
Makin lama kita bertengkar, makin kuat kita menegakkan benang basah kita.
Akibatnya soal ego mula masuk campur. Lama-lama kita jadi asyik hendak
mempertahankan ego kita sahaja. Apabila ego masuk, hilang soal masalah, timbul
pula soal air muka. Waktu itu pertengkaran boleh jadi lebih buruk lagi.
7. Apabila menyatakan emosi, jangan gunakan ayat-ayat
tuduhan. Apabila bertengkar, soal emosi memang tidak boleh dielakkan. Kita
boleh bawa masuk emosi ke dalam pertengkaran, tetapi jangan menuduh. Jangan
gunakan gaya bahasa �awak�, sebaliknya gunakan gaya
bahasa �saya�.
"Awak memang sudah bosan dengan saya. Mentang-mentang
saya sudah tua, awak mula hendak cari lain." (x)
"Saya rasa seolah-olah saya ni sudah tidak berguna lagi
kepada awak, maklumlah saya sekarang sudah tua."
"Awak memang tidak mahu ajak saya makan angin. Macam
mana saya tidak sakit hati?" (x)
"Saya rasa kecil hati sudah lama awak tidak ajak saya
makan angin."
Gaya bahasa �awak� tidak boleh digunakan bagi
menyata-kan emosi. Ia sangat berbahaya kerana gaya itu menuduh pasangan kita
ialah punca apa yang kita rasa. Apabila kita menuduh dia bertanggungjawab ke
atas emosi kita, itu bererti kita tidak mahu bertanggungjawab ke atas emosi
kita sendiri. Sebenarnya, apa yang kita rasai ialah akibat perasaan kita
sendiri.
Dengan menggunakan gaya bahasa �saya�
bermakna kita mengaku emosi itu adalah emosi kita. Dia tidak bersalah. Dia
mungkin melakukan sesuatu, tetapi mengapa kita sakit hati ialah kerana kita
yang mahu sakit hati. Dia mungkin tidak ada niat menyakitkan hati kita. Kita
sendiri yang mahu sakit hati, lalu hati kita pun sakitlah. Gaya bahasa �awak� walaupun sangat pendek, ia boleh mencetuskan
pertengkaran yang sangat serius.
Ayat "Awak tidak guna." adalah sangat pendek,
tetapi sangat berbahaya. Sebaliknya gaya bahasa �saya� boleh panjang lebar, tetapi
tidak membahayakan. Ayat di bawah ialah contoh ayat �saya�
yang panjang, tetapi ia tidak mengandungi tuduhan yang sangat menyakitkan hati
walaupun ayat ini penuh dengan emosi.
"Saya sudah lama memendam rasa berkenaan cara-cara
bagaimana kaum keluarga saya dilayan dalam rumah ini. Tapi saya diam sahaja.
Saya tidak mahu bercakap, sebab saya tidak mahu gaduh-gaduh. Sudah dua puluh
lima tahun kita kahwin, tapi keluarga saya tidak berapa kali datang. Saya kecil
hati apabila saya tengok mereka tidak selesa duduk atas kerusi di rumah ni.
Saya nampak macam mana mereka itu dilayan seolah-olah tetamu kita sahaja, bukan
macam adik-beradik saya sendiri. Mereka cuma dapat minum dengan biskut atau
keropok goreng saja. Ada masanya di dalam peti ais penuh dengan makanan, tapi
tidak dihidangkan kepada mereka. Suatu masa yang keluar cuma biskut cream
craker saja. Padahal, di dalam peti ais ada sekilo buah anggur yang masih di
dalam plastik. Bayangkanlah apa perasan saya apabila makanan itu duit saya yang
membelinya, tapi adik-beradik saya tidak merasa. Seingat-ingat saya, belum
pernah saya dengar mereka itu ditahan jangan balik dulu selagi belum makan
nasi. Saya nampak, dan saya boleh bezakan dengan layanan yang diterima oleh
kaum keluarga awak apabila mereka datang. Tapi selama ni saya diam saja, sebab
selama ini saya tahu saya tidak akan menang apabila bercakap dengan awak."
Gaya Wanita
Kajian-kajian menunjukkan, apabila wanita menghadapi
masalah, mereka suka bercakap berkenaan masalah itu dengan tidak ada niat
hendak mencari jalan bagaimana masalah itu patut diselesaikan. Inilah yang
ramai lelaki tidak faham. Bagi lelaki, adalah tidak masuk akal perbuatan
bercakap berkenaan masalah kalau tidak dengan niat mahu menyelesaikannya. Bagi
wanita, salah satu cara menghadapi masalah ialah bercakap mengenai masalah itu,
dengan tidak payah menyelesaikannya. Bagi mereka, bercakap-cakap itu sendiri
adalah penyelesaian. Apabila wanita dapat bercakap sampai puas berkenaan
masalah yang mereka hadapi, dada mereka akan berasa lapang dan mereka bolehlah
meneruskan hidup macam biasa.
Gaya Lelaki
Lelaki tidak seperti wanita. Lelaki tidak tahu apabila
perempuan bercakap berkenaan masalah, biasanya mereka bukan mahu supaya masalah
itu diselesaikan. Mereka sekadar mahu bercakap-cakap mengenainya sahaja! Oleh
kerana lelaki tidak tahu hal itu, maka kebanyakan lelaki bosan apabila isteri
mereka mula mengadu berkenaan masalah mereka.
Bagi lelaki, setiap masalah mesti dicarikan
penyelesaian-nya. Jadi, apabila isteri mereka mengadu masalah yang mereka
hadapi, lelaki cepat-cepat berfikir dan memberikan cadangan bagaimana masalah
isterinya itu dapat diselesaikan. Bagi lelaki, itulah tindakan yang paling
logik. Isterinya ada masalah, maka logiklah dia membantu memikirkan idea
bagaimana masalah itu boleh diselesaikan. Dan bagi lelaki, itulah cara yang
paling baik bagi menunjukkan kasih sayang terhadap isteri yang sedang mengalami
masalah. Akibatnya, belum sempat isterinya bercakap banyak berkenaan
masalahnya, lelaki sudah cepat-cepat mengusulkan bagaimana masalah itu patut
diselesaikan.
Inilah yang menyakitkan hati wanita apabila bercakap
mengenai masalah dengan suami mereka. Lain yang diharap, lain yang didapati.
Lelaki pula mendapat rasa puas apabila mereka dapat menyelesaikan masalah
mereka. Bagi lelaki, kalau ada masalah, cara yang betul ialah menyelesaikan
masalah itu, bukan bercakap-cakap kosong mengenainya. Itulah sebabnya apabila
isteri mereka mengadu ada masalah, lelaki cepat-cepat memberi nasihat kepada isterinya,
ataupun memberi idea bagaimana masalah itu patut diselesaikan. Padahal
isterinya bukan mahu nasihat atau sebarang idea.
Rungutan Wanita
Antara rungutan yang paling banyak dikemukakan oleh wanita
terhadap suami mereka ialah suami mereka tidak berminat mendengar masalah
isteri, dengan cara-cara seperti berikut:
1. Si suami tidak mahu mendengar langsung dengan cara
pura-pura tidak mendengar isterinya bercakap.
2. Si suami mendengar dengan sambil lewa sahaja, macam
hendak tidak hendak.
3. Si suami cepat-cepat memberi cadangan apa yang patut
dibuat oleh isterinya walaupun si isteri baru bercakap dua tiga ayat.
Wanita memang suka bercakap-cakap mengenai masalah mereka.
Masalah-masalah yang kecil-kecil pun mereka suka bercakap-cakap mengenainya. Mereka
berasa puas dapat bercakap-cakap berkenaan masalah-masalah kecil. Oleh kerana
wanita suka bercakap mengenai masalah-masalah kecil, suami mereka suka
merendah-rendahkan tabiat mereka itu. Sikap tersebut tergambar dalam kata-kata
yang mereka ucapkan. Di bawah ialah contoh nasihat yang biasa diberikan oleh
suami kepada isterinya. Di sebalik nasihat itu ialah pandangan yang
merendah-rendahkan isterinya.
Contoh 1
Isteri : "Saya risaulah, kalau anjing orang sebelah
dapat masuk halaman kita, macam mana?"
Suami : "Itukan soal kecil, apa yang awak risaukan
sangat. Sudahlah tu, lupakan saja."
Contoh 2
Isteri : "Buah mangga kita ni asyik dicuri budak-budak
sahaja. Masalah betullah."
Suami : "Tidak usahlah awak pedulikan perkara
remeh-temeh tu."
Contoh 3
Isteri : "Warna langsir tingkap kita ni sudah tidak
berseri lagi. Hendak tukar tidak ada duit."
Suami : "Janganlah pening-peningkan kepala awak dengan
benda tidak penting itu."
Kata-kata seperti di atas sangat menyakitkan hati perempuan.
Itu sebabnya ramai isteri geram kepada suami mereka. Bagi wanita, tidak ada �masalah besar� ataupun �masalah kecil�. Semua masalah adalah
masalah. Tetapi lelaki lain, mereka memang membezakan jenis-jenis masalah, dan
cara-cara mereka menangani masalah itu ditentukan sama ada ia dianggap penting,
serius, remeh atau tidak.
Berikut ialah contoh bagaimana suami-suami memberi idea
supaya masalah isterinya boleh diselesaikan:
Contoh 1
Isteri : "Saya penatlah. Mana lagi kerja rumah, mana
lagi kerja pejabat. Tidak tahan rasanya badan saya ni."
Suami : "Kalau tidak tahan, berhentilah kerja."
Contoh 2
Isteri : "Muka saya ni timbul jerawat balik."
Suami : "Kurangkanlah makan minyak."
Contoh 3
Isteri : "Bos saya tu teruk betullah. Sudah seminggu ni
asyik marah-marah sahaja. Tidak tahan rasanya tengok muka dia."
Suami : "Tidak usahlah tengok mukanya."
Bayangkanlah, macam mana isteri-isteri tidak geram apabila
begitulah cara suami mereka menyambut aduan masalah yang mereka buat? Bagi para
isteri, aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual adalah inti pati yang paling
penting peranannya dalam bercinta dan berkasih-sayang. Inilah yang kebanyakan
lelaki tidak mengerti.
Jadi, bagi wanita, apabila suami mereka tidak mahu melayan
mereka dengan cara mendengar, bercakap-cakap dan berbual-bual berkenaan masalah
yang mereka adukan, itu bermakna mereka tidak dapat mengecap salah satu nikmat
besar dalam perkahwinan. Bagi wanita, aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual
adalah lebih daripada setakat bercakap-cakap dan berbual-bual sahaja. Ia adalah
cara mereka menjalin dan memupuk hubungan. Jikalau hubungan itu adalah hubungan
cinta, ia adalah cara mereka menjalin dan memupuk cinta. Ia adalah cara yang
mereka gunakan untuk mendalamkan lagi rasa komitmen dan keintiman. Kebanyakan
suami tidak faham apabila isteri mereka mengadukan masalah, yang mereka mahu
ialah supaya suami membuktikan cinta dan kasih sayangnya kepada mereka. Caranya
ialah: Layanlah si isteri bercakap sampai puas berkenaan masalahnya!
Bertengkar
Kita selalu mendengar orang berkata, "Sedangkan lidah
lagi tergigit, inikan pula suami isteri." Maksudnya, pertengkaran adalah
suatu hal yang tidak dapat dielakkan dalam perkahwinan. Tetapi menurut pakar-pakar
kaunseling rumah tangga, kebanyakan pertengkaran suami isteri memang boleh
dielakkan. Caranya ialah dengan belajar teknik-teknik yang betul apabila
berkomunikasi dalam pertengkaran. Kebanyakan orang tidak percaya bahawa
bertengkar memerlukan teknik yang betul, supaya kita tidak bercakap ikut sedap
mulut sahaja.
Biasanya, perkara yang menjadi punca pertengkaran itu
sendiri tidaklah menyakitkan hati sangat sehingga orang mahu bertengkar
mengenainya. Sebagai contoh, lauk yang masin sedikit tidaklah boleh menyebabkan
suami mahu bertengkar dengan isterinya. Tetapi, ia akhirnya boleh mencetuskan
pertengkaran disebabkan oleh faktor bahasa yang digunakan apabila bercakap
mengenai lauk masin itu, di mana bahasa itu adalah jenis gaya bahasa yang
menyakitkan hati orang yang mendengarnya.
Suami : "Mah, kenapa ikan ni masin sangat?"
Isteri : "Tidaklah. Saya letak sikit saja garam."
Suami : "Saya kata masin, masinlah. Takkan awak tidak
percaya cakap saya?"
Isteri : "Awak mahu makan, makan! Kalau tidak mahu makan,
sudah!"
Suami : "Awak ni, kenapa? Cakap sikit pun tidak
boleh?"
Isteri : "Awak tu, kenapa? Asyik komplen saja... .
Kalau saya masak, masinlah, itulah, inilah. Semua tidak sedap. Kalau orang lain
masak, semua sedap. Saya bukan tukang masak."
(Suami bangun dan tidak jadi makan, lalu keluar.)
Gaya bahasa yang paling mudah mencetuskan pertengkaran ialah
gaya bahasa menyalahkan orang lain.
"Awak tidak ingatkah?"
"Awak lupakah?"
"Ini salah awak."
"Awak tidak tahu buat kerja."
"Itulah, awak degil."
"Kalau awak ikut cakap saya, tentu tidak jadi
begini."
"Siapa yang salah?"
"Kenapa tidak cakap dari tadi?"
"Mak awak pun sama macam awak."
"Idea awak salah."
Gaya bahasa yang menyalahkan orang lain sangat menyakitkan
hati sesiapa pun yang mendengarnya. Ramai suami isteri tidak sedar bahasa ini
amat kerap diucapkan. Tidak ada orang yang suka dituduh bersalah. Akibatnya,
mereka jadi defensif. Salah satu gaya bahasa defensif ialah membalas tuduhan
dengan tuduhan juga. Ada beberapa teknik untuk mencegah diri kita daripada
terpakai gaya bahasa ini apabila bercakap.
1. Pertama, jangan gunakan perkataan �awak�.
Kedua, jangan gunakan perkataan �kenapa?�
"Kenapa awak lupa?"
"Kenapa tidak telefon saya?"
"Kenapa awak macam bapa awak juga?"
Ayat-ayat jenis ini mempunyai ciri negatif yang sangat
berbahaya, iaitu ayat-ayat tersebut tidak membezakan antara �orang� dan �masalah� yang hendak diselesaikan.
Kedua-duanya digabung-kan menjadi satu. Masalah dapat diselesaikan, tetapi �orang� tidak dapat diselesaikan. Ayat-ayat �awak� mengatakan orang itu adalah masalah. Kerana hal
demikian, ia menganggap orang itu yang perlu diselesaikan. Ini mustahil.
Ayat-ayat itu juga tidak membezakan �perbuatan�
daripada �orang�. Perbuatan dapat diubah,
tetapi orang tidak dapat diubah. Menggunakan ayat �awak�
tidak dapat menyelesaikan apa-apa masalah. Perbuatan itu hanya memburukkan lagi
masalah yang ada dengan mencetuskan masalah-masalah lain pula.
Ayat yang menggunakan perkataan �kenapa�
adalah menyakiti hati orang yang ditanya. Walaupun ayat itu nampaknya
seolah-olah setakat bertanya maklumat dan penjelasan, tetapi sebenarnya ayat �kenapa� mempersoalkan kebijaksanaan orang itu. Orang
yang mengucapkan ayat itu juga ada anggapan status dirinya lebih tinggi. Isteri
yang bertanya "Kenapa abang balik lambat malam tadi?" adalah seorang
isteri yang berasa dia ada hak mempersoalkan suaminya. Itulah sebabnya lelaki
pantang mendengar ayat �kenapa� daripada mulut isteri
mereka.
2. Kedua, jangan babitkan perkara-perkara lain. Apabila
bercakap berkenaan sesuatu isu, kita selalu membabitkan perkara-perkara lain
yang tidak ada sangkut-pautnya dengan isu asal. Itulah sebabnya, hilang isu
asal, timbul isu lain. Akibatnya, isu lain itu yang mencetuskan pertengkaran.
Contoh 1
Isteri : "Bang, minta duit, saya hendak beli karpet
baru."
Suami : "Tidak payahlah beli karpet baru. Kita tidak
cukup duit."
Isteri : "Macam mana hendak cukup duit. Abang tu banyak
sangat hantar duit balik kampung. Sampai kita sendiri tidak cukup duit. Hendak
beli karpet pun susah. Mak bapa abang tu asyik minta duit shaaja. Dia orang
ingat kita ni kilang duitkah? Abang pun satu juga, sudah kahwin buatlah cara
sudah kahwin. Sepatutnya duit abang tu untuk anak isteri sendiri saja. Kalau
masa abang masih bujang, tidak mengapalah. Pasal tu tidak pernah cukup
duit."
Suami : "Tutup mulut awak tu sikit. Membebel tidak
habis-habis."
Contoh 2
Isteri : "Kenapa abang balik lambat?"
Suami : "Banyak kerja."
Isteri : "Orang lain pun banyak kerja. Tapi mereka
balik cepat. Apa salahnya abang bawa balik kerja abang tu, buat di rumah. Ini
tidak, abang suka buat di pejabat. Jangan-jangan ada apa-apa tidak? Mana saya
tahu, betulkah abang banyak kerja pejabat? Jangan-jangan kerja lain,
tidak?"
Suami : "Diamlah!"
Contoh 3
Isteri : "Apa kenanya kereta awak tu? Rosak
lagikah?"
Suami : "Rosak sikit."
Isteri : "Kereta tu asyik makan duit saja. Tidak
habis-habis rosak. Awak kalau beli barang, selalu saja rosak. Dulu, motosikal
yang awak beli pun selalu rosak. Jam tangan yang awak belikan untuk saya tu pun
sudah rosak juga. Awak tidak pandai beli barang."
Suami : "Duit saya, apa awak peduli? Saya bukan
habiskan duit datuk awak. Saya punya duit, saya punya pasallah."
Memuntahkan Isi Dada
Semasa sedang bergaduh dan bertengkar, macam-macam perkara
dan perbuatan yang boleh membahayakan ikatan perkahwinan boleh berlaku. Salah
satu perbuatan itu ialah perbuatan mencurahkan segala perasaan yang selama ini
terbuku dalam dada. Lelaki tidak takut menghadap laut yang bertaufan, tetapi
lelaki sangat takut menghadap wanita yang sedang meluahkan perasaannya, atau
istilah-nya �memuntahkan
isi dada�.
Apabila perempuan mula sahaja meluahkan perasaan mereka,
lelaki jadi takut. Tingkah laku memuntahkan isi di dada adalah sangat popular
dalam komunikasi rumah tangga dan ia biasanya dilakukan oleh para isteri.
Lelaki tidak suka memuntahkan isi dada mereka walaupun dada mereka juga penuh
dengan pelbagai perkara yang tidak memuaskan hati mereka. Perbuatan ini dianggap
�kelakuan perempuan� sebagaimana perbuatan
menangis dan berleter juga dianggap kelakuan perempuan.
Isteri-isteri suka melakukan perbuatan ini kerana menurut
mereka dengan perbuatan itu barulah mereka berasa �puas�.
Walaupun perbuatan meluahkan isi dada popular, tetapi ia tidak berguna sama
sekali bagi menyelesaikan apa-apa masalah atau meleraikan apa-apa konflik.
Malah ia kerap kali menjadi punca bagaimana isu yang kecil boleh mencetuskan
pertengkaran yang besar. Perempuan pula mempunyai pelbagai cara meluahkan
perasaan mereka.
1. Pertama, dan paling popular ialah dengan cara berleter.
Ini pun sudah cukup menakutkan lelaki. Leteran ialah punca utama lelaki
membenci isteri dalam diam-diam.
2. Kedua ialah dengan cara menggunakan bahasa badan. Mereka
berjalan dengan menghentak-hentak kaki, menghempas-hempas barang, menutup pintu
kuat-kuat dan seumpamanya.
3. Ketiga ialah dengan cara mengungkit-ungkit perkara lama.
Perbuatan ini sangat menyakitkan hati lelaki, dan ia adalah racun yang
menghakis cinta secara sangat perlahan-lahan. Leteran dan ungkitan selalu-nya
dilakukan bersama-sama. Meskipun perbuatan ini sangat berbahaya, namun ia
popular dilakukan.
4. Keempat ialah dengan cara merungut-rungut. Merungut ialah
perbuatan mencari segala macam perkara yang tidak betul, yang salah dan yang
tidak memuaskan hati. Mula-mula orang bosan mendengar rungutan, lama-lama
menjadi benci. Rungutan menyebabkan emosi orang yang mendengarnya berasa letih.
Orang yang kuat merungut ialah orang yang hatinya sukar dipuaskan. Ada-ada
sahaja yang tidak betul.
5. Kelima ialah dengan cara menuduh dan menyalahkan suami
sendiri atau sesiapa sahaja orang lain, seperti mertua, ipar duai, atau
rakan-rakan suaminya atas segala perkara yang dia tidak puas hati. Apabila kita
menuduh suami, kita sebenarnya menuduh dia ada niat melakukan apa yang
dilakukannya. Niat itu pula sentiasa niat buruk dan jahat, bukan niat baik.
Sebagai contoh, seorang suami tidak mahu membelikan
isterinya cincin berlian RM 10 000 sempena ulang tahun perkahwinan mereka. Si
isteri menuduh dengan mengatakan suaminya sengaja tidak mahu membelikan cincin
itu sebab suaminya ada niat... . (macam-macam niat yang si isteri reka
sendiri).
Tuduhan sentiasa mengandungi unsur di mana si penuduh
mengatakan orang yang dituduhnya itu ada niat yang negatif terhadap dirinya.
Kalau si suami balik lambat, si isteri menuduh si suami ada niat menipunya.
Kalau si suami tidak mengajak isterinya ke majlis, si isteri menuduh si suami
hendak membawa wanita lain. Kalau si suami menukar minyak wanginya, si isteri
menuduh ada perempuan lain yang menyuruhnya berbuat begitu. Kalau si isteri
minta wang lebih dan suaminya memberitahu dia tidak ada wang sebanyak itu, si
isteri menuduh suaminya berbohong kerana wang itu hendak digunakan untuk joli.
Apabila kita menuduh orang itu ada niat negatif terhadap kita, bermakna kita
seolah-olah boleh nampak apa yang ada dalam kepala orang itu, atau kita dapat
membaca apa yang ada di dalam hatinya. Ini mustahil. Tidak ada orang yang tahu
apa yang ada dalam kepala dan hati orang lain, sekalipun antara suami dan
isteri.
6. Keenam ialah dengan cara tarik muka masam ataupun dengan
cara merajuk. Cara ini pun sangat popular. Ia adalah salah satu cara menghukum
orang yang kita tuduh sebagai punca yang menyebabkan apa yang kita alami.
Kebanyakan lelaki tidak tahu apa yang paling sesuai mereka
lakukan apabila isteri mereka sedang meluahkan perasaan. Akibatnya, mereka �lari� kerana mereka tidak mahu memandang dan
mendengar apa yang sedang terjadi. Ada beberapa cara yang popular digunakan
oleh para suami untuk lari daripada menghadapi isteri yang cuba meluahkan
perasaannya. Antara cara-cara itu ialah:
1. Suami pergi meninggalkan tempat di mana isterinya sedang
meluahkan perasaan. Sebagai contoh, apabila isteri meluahkan perasaannya di
dalam rumah, si suami keluar meninggalkan rumah. Umpamanya, mereka pura-pura
pergi ke ladang, atau ke kedai membeli rokok dan lain-lain alasan.
2. Si suami tidur. Ini biasa dilakukan apabila si isteri
meluahkan perasaan di dalam bilik tidur pada waktu malam.
3. Si suami cuba menenggelamkan suara isteri dengan cara
meninggikan bunyi radio atau televisyen supaya dia tidak boleh mendengar apa
yang dikatakan oleh si isteri. Ada kalanya dia pura-pura membetulkan enjin
motosikal atau keretanya dan dia membunyikan enjin itu kuat-kuat, atau
lain-lain perbuatan seperti itu.
4. Si suami sengaja tidak mahu memikirkan langsung apa yang
diluahkan oleh isterinya. Ada kalanya, di dalam hatinya si suami menafikan dia
sedang menghadapi sebarang masalah dengan isterinya. Oleh itu dia tidak mahu
membuat sebarang respons terhadap apa yang dikatakan oleh si isteri. Jadi dia
anggap isterinya hanya �marah-marah
tidak tentu fasal�
sahaja, maka tidak perlulah dia berbincang apa-apa dengan isterinya.
Lelaki sanggup melakukan banyak perkara asal sahaja mereka
boleh mencegah isteri mereka daripada meluahkan perasaannya. Antara
perkara-perkara yang popular mereka lakukan ialah diam, berdusta, mengalah,
mengelak dan �merasuah� atau memberi �gula-gula�.
Pada jangka masa pendek, strategi yang digunakan oleh suami
bagi mencegah isteri mereka daripada meluahkan perasaan memang dapat mencapai
objektif itu. Sebagai contoh, apabila isteri meluahkan perasaan dan si suami
diam sahaja, lama-lama si isteri kehabisan tenaga emosinya kerana tidak
dilayan, lalu dia diam. Kalau dilayan, nanti si isteri akan tambah marah.
Memang betullah, pada ketika itu si isteri akan berhenti meluahkan perasaannya.
Tetapi ia menyebabkan hati si isteri tambah tidak puas hati kerana tidak
dilayan oleh suaminya. Perasaan itu akan terbuku dan menanti saat lain untuk
diluahkan lagi.
Lelaki juga kerap berdusta kerana takut jikalau isterinya
tahu apa yang sebenar, ia akan mencetuskan kemarahan si isteri. Jadi dia
berdusta dengan berbagai-bagai cara. Pertama dia tidak memberitahu langsung
perkara yang sebenar. Sebagai contoh dia pergi bersama-sama kawan ke rumah urut
dan dia merahsiakan hal itu. Kedua, dia memberitahu sebahagian sahaja daripada
maklumat yang sebenar. Sebagai contoh, dia memberitahu isterinya dia
bersama-sama kawan-kawan, tetapi tidak pula memberitahu ke mana mereka pergi.
Ketiga, dia memberitahu maklumat yang salah sama sekali. Sebagai contoh, dia
memberitahu isterinya kononnya dia bekerja lebih masa.
Strategi seperti ini memang boleh mencegah konflik, tetapi
hanya untuk jangka masa pendek. Apabila dusta itu diketahui, konflik yang lebih
besar akan meletus. Lelaki juga kerap mengalah sahaja kepada isteri supaya
dengan berbuat begitu si isteri tidak akan meluahkan perasannya atau akan
berhenti. Mereka akan ikut kehendak isteri kalau dengan cara itu si isteri
tidak jadi, atau mahu berhenti meluahkan perasaannya. Strategi ini juga sangat
berbahaya. Perbuatan mengalah kepada kehendak isteri boleh memburukkan lagi
perangai isteri yang memang buruk. Setiap kali si isteri mahu supaya
kehendaknya dituruti, dia akan mengancam suaminya dengan luahan perasaan.
Lama-lama strategi itu menjadi tabiat kepada si isteri.
Lelaki juga menggunakan strategi mengelak. Sebagai contoh,
jika si isteri sedang mengamuk berkenaan suatu perkara, si suami akan
melencongkan percakapan mereka kepada perkara lain. Strategi ini boleh mencegah
isteri daripada meluahkan perasaannya, tetapi ia tidak juga menyelesaikan
apa-apa masalah. Jadi, masalah itu akan timbul lagi, dan timbul lagi lain kali.
Satu lagi strategi yang popular ialah lelaki akan �merasuah� atau memberi �gula-gula� kepada isterinya dengan
melembutkan hati si isteri dengan cara-cara seperti membawa pulang buah tangan,
memberi hadiah-hadiah mahal, memberi pujian-pujian palsu dan seumpamanya. Suatu
kelemahan cara ini ialah, hadiah-hadiah itu perlu semakin �besar� dan berlainan bentuknya dari waktu ke waktu
bagi menimbulkan kesan yang serupa. Ini kerana isteri tidak suka menerima dua
helai baju atau dua beg tangan yang serupa!
Ada kalanya lelaki menggunakan teknik kelakar dan gurauan
untuk mencairkan rasa marah isteri. Cara begini boleh semakin menyakitkan hati
si isteri. Mereka mempersenda-sendakan kata-kata isteri.
"Baguslah. Kalau awak mati, lagi cepat saya boleh kawin
lain!"
"Kalau saya tidak sayang awak, sudah lama saya cari
yang baru."
"Saya sayang awak, siapa pulak kata saya benci awak?
Gemuk macam awak pun saya tidak cari lain, takkanlah awak kata saya tidak
sayang awak?"
Lelaki sebenarnya tidak takut kepada emosi isteri.
Sebenarnya yang mereka takuti ialah teknik-teknik negatif yang digunakan oleh
isteri apabila mereka meluahkan emosi, atau memuntahkan isi dada mereka. Tidak
ada orang yang suka dileteri, diungkit-ungkit, diancam, dirajuki dan diberi
muka masam. Walau apa sekalipun strategi yang dibuat oleh lelaki untuk mencegah
isteri mereka daripada meluahkan perasaan, strategi itu mempunyai kesan negatif
yang lebih banyak daripada kesan positifnya. Strategi-strategi itu tidak
menyelesaikan masalah yang ada. Ia hanya menunda berlakunya konflik yang lebih
besar kemudian hari.
Menyumbat Mulut
Ada banyak cara bagaimana wanita boleh menang apabila
bertengkar dengan suami mereka. Antara cara-cara yang digunakan itu, banyak
daripadanya membahayakan kepentingan wanita sendiri. Namun cara-cara yang
berbahaya itu sangat popular digunakan. Cara-cara itu berbahaya kerana ia boleh
menyebabkan suami menjadi sakit hati, marah, bosan dan benci kepada isteri.
Jadi, walaupun cara-cara itu memang boleh membawa kemenangan kepada isteri,
tetapi kemenangan itu adalah pada jangka masa pendek sahaja. Pada jangka
panjang ia merugikan diri sendiri.
1. Cara pertama untuk menang apabila bergaduh dengan suami
ialah dengan cara mengenakan tekanan ke atas suami. Dalam lain perkataan ialah
memaksa suami mengalah. Tekanan jenis pertama ialah tekanan emosi. Teknik
mengenakan tekanan emosi popular dilakukan apabila iklim komunikasi antara
suami dan isteri sudah sangat negatif. Dengan mengenakan tekanan emosi,
isteri-isteri boleh memaksa supaya suami mereka mengalah kepadanya. Antara
tekniknya ialah dengan menuduh, mencaci dan memaki hamun si suami.
"Awak memang tidak bertanggungjawab." ialah suatu
tuduhan.
"Awak tu sudah tua tapi masih miang, tidak sedar diri.� ialah suatu cacian.
"Binatang! Lelaki tidak guna. Anjing!" ialah maki
hamun.
2. Tekanan yang kedua ialah tekanan fizikal seperti memukul,
membaling benda kepadanya, menampar dan lain-lain seperti itu. Tekanan ini
banyak dilakukan oleh lelaki, tetapi ada juga isteri-isteri yang menggunakan
tekanan jenis ini. Ada yang memukul suami dengan benda-benda seperti buluh dan
kayu batang penyapu semasa suami sedang tidur. Ada yang membaling suami dengan
benda-benda seperti buku tebal, beg kerja suami, kasut dan macam-macam lagi.
3. Teknik ketiga untuk menang ialah dengan menuduh. Banyak
lelaki akan diam apabila dirinya dituduh. Walaupun hati mereka sangat sakit,
tetapi mereka diam sahaja. Alasan utama mereka diam ialah bagi mengelakkan
tercetusnya konflik yang buruk.
"Mentang-mentang saya sudah tua, awak sengaja hendak
cari yang muda."
"Saya tahu saya bodoh, tidak setaraf dengan awak. Itu
sebab awak malu hendak bawa saya ke majlis."
"Awak memang sudah bosan dengan saya, sebab itulah awak
cari alasan hendak kahwin lain."
4. Teknik keempat ialah dengan �menyumbat�
mulut lawan sehingga orang itu tidak sanggup bercakap lagi. Teknik ini popular
di kalangan isteri. Orang yang disumbat mulutnya tidak boleh berkata apa-apa
lagi bagi meneruskan pertengkaran atau pergaduhan. Antara jenis-jenis penyumbat
mulut yang popular digunakan oleh para isteri ialah:
a. Menangis. Teknik ini sangat popular. Ramai lelaki akan
terdiam apabila isterinya mula menangis.
b. Menjerit-jerit. Ramai isteri tahu dengan bercakap dengan
suara tinggi dan menjerit-jerit, biasanya mereka dapat membuat suami mereka
diam. Lelaki takut malu sekiranya anak-anak atau jiran tetangga mendengar
mereka bergaduh.
c. Pura-pura hilang akal seolah-olah dirasuk hantu.
Perbuatan ini hanya dilakukan oleh wanita. Walaupun lelaki tahu ia hanya
sandiwara tetapi lelaki akan diam apabila sandiwara ini mula dilakonkan.
d. Pura-pura pitam atau tidak sedarkan diri. Per-buatan ini
pun cuma dilakukan oleh wanita. Ia juga sejenis sandiwara juga. Siapa pun akan
diam apabila orang itu sudah �tidak
sedarkan diri�.
e. Pura-pura sesak nafas dengan tiba-tiba.
f. Pura-pura sakit kepala yang amat sangat, atau sakit-sakit
yang lain.
g. Mengamuk dengan memecahkan barang-barang dan seumpamanya.
Apabila perempuan bercakap dengan marah-marah, mereka boleh
berjaya membuat suami mereka diam sekejap. Tetapi perbuatan isteri yang suka
marah-marah ada bahayanya. Suami mereka mungkin bukan diam sekejap, tetapi diam
selama-lamanya, di mana suami mereka tidak mahu lagi berkomunikasi secara
terbuka dan dari hati sanubari.
Ramai lelaki tidak tahu cara-cara yang betul menghadapi
isteri yang suka menggunakan cara marah-marah bagi mengalahkan suami mereka.
Pakar-pakar psikologi memberi panduan berikut:
1. Cuba kawal perasaan marah yang kita alami sendiri akibat
mendengar kata-kata isteri yang menyakitkan hati. Kalau kita tidak dapat
membuat isteri kita mengawal marahnya, kita kawal marah kita sendiri. Apabila
kita mendengar kata-katanya yang menyakitkan hati, jangan peduli dan jangan
layan kata-katanya itu. Kalau dilayan, dia akan jadi lebih marah lagi, kerana
tujuannya ialah dia mahu menang dengan cara memaksa kita mengalah.
2. Kalau hati kita sangat sakit dan isteri kita sangat
marah, jauhkan diri kita daripadanya. Pergilah keluar rumah, barangkali selama
setengah jam, atau beberapa jam. Kalau hati kita sangat sakit, tambahkan masa
itu. Tetapi jangan keluar begitu saja. Perbuatan itu akan membuat dia lebih
marah lagi. Sebelum keluar, katakan kepadanya kita pergi kerana hendak mengawal
perasaan kita sendiri.
3. Kita boleh mengalah, tetapi mengalah sedikit sahaja.
Kalau kita mengalah semua, ia boleh menimbulkan kesan negatif kepada dia dan
kepada diri kita sendiri. Kalau dia dapat menang semua, nanti lain kali tabiat
buruknya akan bertambah buruk. Dia bertambah yakin dengan cara marah-marah, dia
dapat mengalahkan kita. Bagi diri kita sendiri, kalau kita mengalah semua, ego
kita akan terluka.
4. Apabila dia berlakon pura-pura pitam, hilang akal,
dirasuk hantu, atau sesak nafas, jangan dilayan. Emosi marah tidak boleh
menyebabkan gangguan mental dan fizikal jenis itu! Apabila tidak dilayan, dia
akan sembuh sendiri. Kalau dilayan, lain kali lakonannya akan diulang dengan
lebih hebat lagi.
Diam
Dalam banyak perkahwinan yang sudah berusia lebih daripada
lima tahun, salah satu masalah yang dihadapi oleh pihak isteri ialah suami yang
suka diam. Suami yang diam tidak suka berbual-bual seperti masa dulu-dulu.
Balik dari kerja, mereka duduk membaca surat khabar, dari halaman ke halaman,
dan menonton televisyen daripada rancangan ke rancangan. Walau apa yang sedang
berlaku di dalam rumah, mereka seperti tidak peduli dan tidak ambil pusing.
Mereka tidak mahu dibawa berbincang bagi menyelesaikan apa-apa masalah yang
sedang dihadapi oleh isteri. Mereka juga tidak mahu memberi pendapat mereka
berkenaan apa-apa keputusan yang perlu dibuat.
Kaum wanita mengalami seksa batin yang hanya mereka sahaja
boleh mengerti apabila suami mereka suka diam. Ini kerana kaum wanita mendapat
kepuasan batin yang mendalam daripada kegiatan bercakap-cakap dan berbual-bual,
terutamanya dengan orang yang mereka kasihi. Bagi wanita, selagi mereka masih
boleh bercakap-cakap dan berbual-bual dengan suami mereka, maka mereka yakin
bahawa perkahwinan mereka masih kukuh dan kasih sayang mereka berdua masih
kental.
Itulah sebabnya, apabila suami mereka sudah kurang mahu berbual-bual
dengan mereka, hati wanita berasa tidak aman lagi dan mereka percaya
perkahwinan mereka sedang terancam. Mereka juga tidak dapat mentafsir apa erti
perbuatan suami mereka yang suka diam. Apabila suami mereka suka diam,
kebanyakan isteri tidak tahu apa yang boleh dibuat supaya suami mereka mahu
bercakap-cakap dan berbual-bual semula dengan mereka seperti sewaktu masih
bercinta, atau baru kahwin.
Kebanyakan isteri yang menghadapi masalah suami diam
melabelkan suami mereka sebagai �tidak
bertanggungjawab� kerana
apabila mereka diam, mereka tidak mahu ambil tahu dan tidak mahu masuk campur
dalam semua urusan rumah tangga yang dikendalikan oleh si isteri. Akibatnya, si
isteri membuat keputusan sendiri dan menyelesaikan semua masalah sendiri tanpa
bantuan suami mereka.
Diam ialah sejenis komunikasi yang sarat dengan makna. Ada
dua jenis diam. Pertama ialah diam yang sementara, iaitu diam dalam keadaan
tertentu sahaja. Kedua ialah diam yang berlarutan. Suami yang diam buat
sementara tidak berapa menyeksa batin wanita. Diam jenis sementara mempunyai
beberapa makna.
1. Si suami tidak setuju dengan si isteri, tetapi dia tidak
mahu bercakap kerana sia-sia bercakap. Isteri yang banyak cakap atau becok
kerap menyebabkan suami mereka diam kerana si suami tidak mahu sakit telinga.
Jadi suami-suami itu diam kerana tidak mahu mendorong isterinya banyak bercakap
dan menyakitkan telinga mereka.
Setengah-setengah isteri pula ada tabiat suka mempertikaikan
apa-apa saja yang disebut oleh suami mereka. Kalau suami kata lurus, dia kata
bengkok; kalau suami kata ringan, dia kata berat; kalau suami kata hari ini,
dia kata besok. Tidak habis-habis bertelingkah. Isteri-isteri begitu suka
bertelingkah dalam segala macam isu remeh-temeh. Mereka asyik bertelingkah
sudut pandangan. Ia menyebabkan suami mereka mengalami apa yang disebut �letih emosi�. Akibatnya, demi mengelakkan
sebarang pertelingkahan emosi, suami mereka diam.
Tabiat isteri yang suka bertelingkah pendapat dengan suami
menyebabkan suami mereka yakin, kalau dia bercakap, nanti cakap-cakapnya akan
ditelingkah oleh isterinya, dan isterinya tidak akan mengalah. Jadi bagi
mengelakkan pergaduhan si suami diam sahaja.
Isteri : Bang!
Suami : Hm...
Isteri : Abang mahu makan apa malam ni?
Suami : Apa-apalah. Bihun pun boleh.
Isteri : Bihun? Ah, tidak kenyanglah makan bihun. Kita makan
nasilah.
Suami : (diam)
Isteri : Kita makan nasi ya?
Suami : (diam)
Isteri : Tengok tu, orang tanya, dia buat pekak saja!
Dalam dialog di atas, mula-mula si isteri bertanyakan
pendapat suaminya, selepas mendengar pendapat itu, dia mempertikaikan pendapat
suaminya. Akibatnya, suaminya diam, tidak mahu bercakap lagi. Ramai isteri
tersalah membaca diam jenis ini sebab ada pepatah mengatakan �diam tanda setuju�, jadi apabila suaminya diam,
dia sangka suaminya setuju, padahal tidak.
2. Diam kerana si suami takutkan risiko bercakap.
Setengah-setengah isteri akan menghukum suami jikalau kehendak mereka tidak
dituruti. Jadi, suami mereka akan diam kerana takutkan hukuman daripada isteri,
seperti si isteri tarik muka masam, atau merajuk dan lain-lain hukuman yang
wanita ada kuasa menjatuhkan ke atas suami mereka.
3. Suami diam kerana malas hendak melayan perkara yang
dianggap remeh dan tidak penting.
4. Suami diam kerana walaupun perkara itu besar, tetapi bagi
si suami, ada perkara lain yang lebih penting untuk dijaga. Biasanya perkara
yang dianggap sangat penting ialah para suami ialah mengelakkan pertengkaran
dalam rumah tangga.
Diam yang sangat ditakuti wanita ialah diam yang berlarutan.
Diam jenis ini berpanjangan selama berbulan-bulan dan bertahun-tahun.
Keempat-empat faktor di atas, iaitu perkara yang pada mulanya adalah punca diam
yang sementara, tetapi kalau ia selalu sangat berlaku, boleh menyebabkan
berlakunya diam yang berpanjangan. Suami yang satu masa dulu banyak bercakap
dan berbual-bual tidak menjadi pendiam dengan tiba-tiba. Proses itu mengambil
masa yang lama.
Masalah suami suka diam jenis sementara boleh dirawat dengan
mudah. Isteri-isteri yang becok, suka banyak cakap, suka mempertikaikan
pendapat suami mereka, kalau mereka tidak mahu mendapat suami yang diam
berpanjangan, lebih baik belajar berhenti tabiat buruk suka mempertikai cakap
suami. Apabila mereka tidak lagi dipertikai, suami-suami itu akan mahu bercakap
semula.
Dalam komunikasi, diam mempunyai banyak punca. Antara punca
yang sangat serius mengapa suami diam berbulan-bulan, malah bertahun-tahun,
ialah penjauhan diri. Seorang suami yang tidak lagi cinta kepada isterinya akan
menunjukkan jenis-jenis tingkah laku penjauhan. Antara tingkah laku itu ialah
mendiamkan diri. Perbuatan mendiamkan diri adalah salah satu cara seseorang itu
menutup pintu hatinya daripada dimasuki oleh orang lain. Istilah yang biasa
digunakan ialah �menutup
diri�.
Apabila seseorang suami menutup dirinya, dia tidak mahu
bercakap-cakap mengenai dirinya sendiri. Dia tidak mahu memberitahu
perasaannya, fikirannya, rancangannya, aktivitinya dan lain-lain maklumat yang
penting diketahui oleh isterinya. Itulah sebabnya dia diam. Dia tidak mahu
isterinya tahu apa yang sedang dibuatnya, apa yang sedang dirancangnya, apa
yang sedang dialaminya.
Tetapi mengapakah si suami tidak mahu memberitahu
maklumat-maklumat itu kepada isterinya? Punca yang paling penting mengapa
seseorang suami itu menutup dirinya daripada isterinya ialah kerana dia sudah
tidak berapa mencintai isterinya lagi. Tanpa cinta yang kuat, si suami tidak
ada dorongan lagi untuk mengongsi perasaan dan fikirannya dengan isterinya.
Suami yang tidak berapa mencintai isterinya lagi berasa tidak ada faedahnya dia
memberitahu si isteri keadaan yang sebenar yang sedang dialami.
Untuk apa dia memberitahu isterinya dia tidak mencintainya
lagi? Jika diberitahu juga akan hal itu, si suami tahu risikonya besar.
Pertama, si isteri tidak akan mahu menerima berita itu dengan tenang. Isteri
mana yang akan tenang mendengar kata-kata daripada mulut suaminya sendiri
bahawa dirinya tidak dicintai lagi?
Perangai diam tidak berlaku dengan tiba-tiba sahaja. Ia
terjadi perlahan-lahan. Daripada banyak bercakap-cakap, lama-lama percakapan
itu semakin hari semakin singkat. Ayat-ayat yang diucapkan juga semakin lama
semakin pendek-pendek. Isteri-isteri yang menghadapi masalah suami diam mengadu
mereka mencuba berbagai-bagai cara bagi mendapatkan penjelasan daripada mulut
suami mereka sendiri mengapa mereka diam, tetapi gagal sahaja. Biasanya si
suami akan menafikan mereka diam kerana ada apa-apa punca. Mereka akan berkata,
"Tidak ada apa-apa." Jika ditanya juga, suami mereka akan memberi
alasan-alasan yang tidak memuaskan hati si isteri, seperti "Penat,"
"Banyak kerja di pejabat," dan lain-lain alasan yang tidak meyakinkan
hati isteri.
Sebenarnya alasan-alasan itu adalah dusta yang dibuat oleh
suami untuk diberikan kepada isteri yang beria-ia hendak tahu mengapa suami
mereka diam. Si suami mengharapkan dengan memberikan alasan-alasan dusta itu
isteri mereka akan berhenti daripada terus memaksa mereka bercakap.
Suami-suami berdusta kerana hendak mengelakkan pergaduhan
dan konflik. Mereka tidak mahu memberitahu apa yang sebenar kerana perkara itu
pasti tidak boleh diterima oleh si isteri. Apabila si isteri merungut si suami
selalu balik lewat, si suami tidak ada pilihan selain berdusta dengan memberi
alasan seperti "Banyak kerja." Padahal dia sengaja membanyakkan
kerja-kerjanya kerana dia tidak seronok berada di rumah. Semakin luntur cinta
dan kasih sayang, semakin banyak dusta yang diucapkan.
Ramai suami berdusta kerana mereka mahu si isteri terus
hormat kepadanya. Dia tidak mahu isterinya tahu dia bukan lagi seorang suami
yang jujur. Ada kalanya suami-suami berdusta disebabkan mereka tidak mahu
perceraian berlaku kerana terdapat banyak kepentingan yang mesti dipelihara,
seperti tidak mahu anak-anak menderita, hendak menjaga nama baik di mata
masyarakat dan kerana hendak menjaga harta. Semakin hari mereka semakin banyak
berdusta kerana menutup dusta yang lalu, mereka terpaksa berdusta lagi. Bagi
mengelakkan daripada banyak berdusta, mereka cuba supaya diam sedapat-dapatnya.
Apabila suami tidak mencintai isterinya lagi, dia akan diam
pada semua waktu. Kalau bercakap pun, dia akan bercakap kerana tidak ada
pilihan. Biasanya dia bercakap kerana terpaksa bertanya sesuatu perkara seperti
"Mana kunci kereta saya?" atau "Posmen sudah sampai?" atau
"Mana kopi?" Apabila diajak juga bercakap-cakap oleh si isteri, dia
akan menjawab dengan memberi jawapan singkat sahaja seperti, "sudah"
atau "entah" atau "ya." Mereka berkomunikasi hanya apabila
terpaksa sahaja. Sebenarnya mereka tidak seronok lagi bercakap-cakap dengan si
isteri. Mereka lebih suka menyendiri dalam dunianya yang terasing. Apabila
bercakap pula, mereka tidak mahu memandang muka si isteri. Mereka memandang
televisyen, surat khabar atau ke arah lain.
Suami yang diam, mereka bukan tidak bercakap. Mereka banyak
bercakap, tetapi mereka bercakap di dalam hatinya sahaja, oleh itu si isteri
tidak tahu apa yang ada di dalam hatinya. Pakar-pakar komunikasi mengatakan
dalam hati orang yang diam, orang itu menuduh pasangannya bertanggungjawab
menyebabkan hubungan mereka menjadi dingin. Tetapi tuduhan itu tidak diucapkan.
Setengah-setengah isteri akan sengaja memprovokasi suami
mereka supaya mereka mahu bercakap. Mereka berleter, mengkritik dan menuduh
suami mereka berkenaan macam-macam isu. Akibatnya, mereka menyebabkan suami
mereka marah. Dalam keadaan marah, suami mereka akan membela diri daripada
tuduhan-tuduhan si isteri. Mereka membela diri bagi mempertahankan ego mereka.
Mereka tidak setuju dituduh sebagai punca yang bertanggungjawab menyebabkan
masalah yang terjadi. Akibatnya mereka pula menuduh si isteri yang
bertanggungjawab. Akhirnya, komunikasi yang tercetus adalah komunikasi saling
tuduh-menuduh dan saling membela diri.
Apakah yang dapat dilakukan oleh isteri bagi merawat masalah
suami diam berpanjangan kerana cintanya sudah tidak ada lagi di dalam rumah
itu?
1. Tanya kepada diri sendiri, apakah si isteri masih
mencintai suaminya dan masih menghargai perkahwinannya. Jikalau jawapannya
ialah "Ya" maka kuatkan usaha menambat semula hati suami.
2. Berhenti dengan serta-merta daripada melayan fikiran
hendak bercerai.
3. Belajar teknik-teknik komunikasi yang betul dahulu
sebelum cuba mengajak suami berbincang dan menyelesaikan apa-apa masalah yang
ada antara mereka. Gunakan panduan komunikasi apabila ber-cakap. Jangan
sekali-kali menyangka �perempuan
lain� ialah punca
masalah yang sedang dihadapi. Kita tidak akan dapat memperkuatkan semula cinta
suami kepada diri kita dengan cara menyerang perempuan lain. Perbuatan itu cuma
mempercepatkan lagi proses perceraian kita sendiri.
Bahaya diam
Diam ialah kaedah yang kerap digunakan bagi menyembunyikan
kesakitan dan penderitaan, sama ada oleh isteri mahupun oleh suami. Kaedah ini lebih
banyak dilakukan oleh pihak yang kedudukannya lebih lemah. Dalam
setengah-setengah perkahwinan, si isteri berasa kedudukannya sangat lemah, oleh
itu dia akan banyak diam.
Dalam keadaan di mana si suami yang berasa dirinya lemah,
maka dialah yang banyak diam. Mereka memilih untuk diam kerana tidak mahu orang
tahu mereka tidak kuat menepis kesan-kesan perbuatan pasangan mereka. Jadi
mereka berasa lebih baik mereka menahan derita dalam diam daripada menampilkan
kelemahan mereka sendiri.
Terdapat alasan-alasan lain mengapa suami diam. Salah satu
tujuan suami diam ialah dia mengharapkan apabila dia diam, isterinya akan
datang menghampirinya. Suami juga diam kerana tidak mahu berkata sesuatu yang
boleh memburukkan lagi keadaan. Mereka hendak mengelakkan pergaduhan. Oleh itu
mereka lebih bersedia membeli ketenteraman dengan cara diam, tidak kiralah
berapa harganya.
Diam juga boleh digunakan sebagai hukuman. Suami diam bagi
membalas hati yang sakit. Apabila suami diam, dia menampilkan sikap tidak
peduli. Dengan cara mendiamkan diri, si suami menarik balik layanan mesra yang
selama ini diberikan kepada si isteri. Tujuannya ialah membuat si isteri berasa
dirinya diketepikan dan tidak lagi disayangi. Diam juga boleh digunakan oleh
suami bagi melukakan ego si isteri. Isteri yang didiamkan oleh suaminya berasa
seolah-olah dirinya tidak dihargai, dan tidak berguna lagi kepada suaminya.
Suami yang mendiamkan diri kelihatan seolah-olah kedudukannya begitu kuat,
manakala isteri yang didiamkan kelihatan seolah-olah kedudukannya begitu lemah
dan serba tidak berdaya.
Setengah-setengah suami suka diam dan mengalah dalam krisis
rumah tangga. Dengan diam dia dapat mengelakkan konflik yang lebih besar.
Tetapi, perbuatan suka diam dan mengalah sahaja kepada mempunyai empat bahaya:
1. Pertama, si suami mungkin menjadi orang yang gila kerja
dan oleh kerana itu dia selalu lambat balik ke rumah. Apabila balik, dia
membawa pulang kerja-kerjanya.
2. Dia mungkin menjadi gila hobi, seperti gila golf, gila
joran, gila burung ataupun gila persatuan.
3. Dia mungkin menjalin hubungan dengan wanita lain.
4. Perbuatan suka diam dan mengalah sahaja boleh menyebabkan
letupan besar yang sukar ditahan-tahan lagi.
Dipetik daripada: Mengendalikan Masalah Dalam Hubungan
Peribadi

No comments:
Post a Comment