Assalamualaikum Puan Jamilah. Saya dan isteri mempunyai dua
orang anak perempuan. Yang sulung enam tahun dan adiknya hanya sebelas bulan
lebih muda darinya. Masalah kami ialah, kami sering merasakan anak sulung kami
tidak mesra dengan kami; dia suka menjauhkan diri dan kuat merajuk. Malah,
suatu hari apabila dimarahi ibunya, dia berteriak, "Ibu memang tak sayang
kakak." Adakalanya dia akan mendesak supaya dia dihantar ke rumah neneknya
yang tidak jauh dari rumah kami. Kami bimbang keadaan ini akan berterusan
sehingga dia dewasa. Apakah pandangan Puan? Terima kasih. ~ Z.
Jawapan: Waalaikumsalam. Masalah mudah timbul bila anak-anak
lahir terlalu rapat. Akibatnya, salah seorang daripada mereka lama kelamaan
merasa dirinya kurang diberi perhatian. Biasanya dia adalah anak yang lebih
tua. Ada beberapa cara untuk seorang anak diberikan perhatian supaya merasa
dirinya dihargai dan disayangi. Yang pertama ialah dengan SENTUHAN.
1. Sentuhan
Sentuhan termasuklah memeluk atau meletakkan tangan di bahu
atau tangan anak atau mengelus-ngelus rambutnya dan sebagainya. Saya ingin
berkongsi dua kisah benar di sini tentang pentingnya sentuhan.
Kisah pertama terjadi kepada seorang anak perempuan remaja
bergelar M seperti yang diceritakan oleh seorang guru kenalan saya. Suatu hari,
guru ini mengadakan "sharing session" dengan anak-anak didiknya.
Beliau meminta mereka untuk menyebut apa yang paling mereka inginkan di dunia
ini. Seorang demi seorang anak didiknya menceritakan impian masing-masing. Ada
yang lucu, ada yang sedih dan seterusnya. Bila tiba gilirannya, M memberitahu
gurunya bahawa apa yang paling diimpikannya ialah untuk merasa pelukan ibunya.
Menurut M, dia masih ingat yang dia sering dipeluk ibunya semasa kecil. Tetapi
semua itu telah lama berakhir selepas adik-adiknya lahir.
Kisah kedua terjadi kepada seorang kenalan saya, J, yang
mempunyai dua orang anak perempuan yang lahir selang 12 bulan. Semasa anak
sulungnya berusia lima tahun, J dan keluarganya berpindah ke luar negara dan J
terpaksa mengambil cuti tanpa gaji. Suatu petang, ketika J dan kedua-dua
anaknya sedang berehat dan bermain bersama, tiba-tiba dia memeluk anak
sulungnya. Anaknya itu terkejut lalu berkata, "Eh, Mama peluk saya?"
Teman saya itu tidak dapat menahan sebaknya. Dia memberitahu saya, dia tidak
menyedari bahawa dia telah "mengabaikan" anak sulungnya selama ini.
2. Erti Kasih Sayang Bagi Seorang Anak
Saya pernah bertanya kepada anak-anak saya apa ertinya kasih
sayang dan jawapan yang mereka beri ialah:
"Kasih sayang ialah bila kita melakukan aktiviti
bersama-sama." ~ Siraj (sewaktu berusia 7 tahun)
"Kasih sayang ialah apabila dua orang dewasa berkahwin,
mempunyai anak dan hidup bahagia selamanya." ~ (Syarif (10 tahun)
"Bila kita kasih dan sayang kepada seseorang, kita
mengambil berat tentang dirinya dan berkongsi apa jua dengannya." (Safi,
12 tahun)
"Saya merasa diri saya disayangi apabila Ayah atau Ummi
memeluk atau memuji saya." ~ Alia (sewaktu usianya 15 tahun)
Jelas di sini, kanak-kanak mengaitkan kasih sayang dengan
PERBUATAN. Lebih-lebih lagi untuk anak kecil, mereka tidak tahu bagaimana
caranya untuk menjelaskan erti ungkapan ini secara lisan, tetapi mereka tahu
apakah itu kasih sayang. Bagi kanak-kanak, kasih sayang ialah apa yang dialami
dan dirasainya.
Apa yang anak anda mahu lakukan dengan anda? Menanam pokok
bawang untuk projek Sainsnya? Atau membaca sebuah buku cerita lucu dan kemudian
pecah ketawa bersama-sama? Atau membuat dinosaur kertas mengikut model yang
terdapat dalam buku origami yang baru dibeli? Atau mungkin membuat kentang
putar untuk hidangan malam ini?
Beri peluang untuk anak anda memilih aktiviti yang ingin
dilakukannya bersama anda. Jika anda tidak boleh melakukannya serta-merta,
tetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk anda dan juga untuk dirinya.
Perkara-perkara kecil yang anda lakukan bersama akan meninggalkan kesan mendalam
di hati dan perasaan anda berdua.
Cara-cara lain untuk membuatkan anak anda merasa dirinya
disayangi termasuk:
1. Tunjukkan Anda Gembira Bila Bersamanya
Serlahkan wajah ceria ketika menyambut anak anda dari
sekolah. Tunjukkan wajah ceria bila anda pulang bercuti ataupun balik dari
pejabat. Katakan yang anda merinduinya.
2. Perhati dan Akui Perkara-Perkara Baik Yang Dilakukannya
Ibu bapa selalunya bertujuan baik apabila menegur kesilapan
yang dilakukan oleh anak-anak mereka, kerana berharap anak-anak tidak akan
mengulangi kesalahan itu lagi. Tetapi teguran-teguran ini mengecewakan
anak-anak apabila ibu bapa tidak mempedulikan langsung perkara-perkara baik yang
mereka lakukan. Tabiat terlalu kuat menegur kesilapan anak-anak tanpa
mempedulikan kebaikan yang dilakukannya boleh mendorong anak anda untuk
cenderung melakukan perkara-perkara yang buruk hanya untuk mendapat perhatian
ibu bapa.
3. Dengarkan Kata-Katanya
Apabila anak anda bersuara dan ingin memberitahu anda
sesuatu perkara, tumpukanlah perhatian dan dengarkanlah apa yang ingin
dikatakannya. Lihat wajahnya dan jangan menyampuk sehingga dia selesai
bercakap.
Mendengar bukanlah sekadar berada di sisinya dan
menganggukkan kepala sahaja. Satu cara untuk menunjukkan kepada anak yang anda
benar-benar mendengar dan memahami apa yang dikatakannya ialah dengan bertanya
soalan seperti, "Jadi Faris tumbuk Hanis bila kamu tak benarkan dia tiru
kerja rumah ya?"
Mendengar tidak bermakna anda mesti bersetuju dengan apa jua
yang dikatakan oleh anak anda. Tetapi dengan mendengar, anda boleh membantu
anak anda meluahkan isi hatinya serta membuatkannya merasa lega dan tenteram
kerana anda mengambil berat tentang kesejahteraan dirinya.
4. Katakan "Terima Kasih" Jika Dia Mengakui
Kesalahannya
Kadangkala anak anda perlukan anda untuk mendengarkan
pengakuannya. Ini berlaku mungkin kerana dia merasakan yang dia telah melakukan
kesalahan yang membuatkan dia gelisah. Sekiranya ini terjadi, kawal diri
daripada reaksi spontan seperti terburu-buru mengherdik atau membentak.
Sebaliknya, ucapkan terima kasih kerana dia berani bersikap jujur dan berterus
terang untuk berbincang dengan anda. Dia perlu tahu yang anda tidak memandang rendah
kepadanya meskipun dia sudah berbuat kesalahan. (Ini tidak bermakna dia tidak
akan didenda, jika perlu.)
5. Tunjukkan Minat
Kanak-kanak gemar menunjukkan kepada kita apa yang sedang
mereka usahakan. Sebagai contoh, jika anak anda yang berusia sembilan tahun
sedang menyiapkan dua keping lukisan yang berlainan dan bertanya lukisan mana
satu yang anda lebih suka, dekati dia dan amatilah kedua-dua lukisan dengan
penuh minat. Katakan sesuatu yang khusus seperti, "Ibu lebih suka yang ini
sebab Ana lukis pokok dan daunnya lebih jelas. Warnanya pun lebih terang."
Jangan menjawab secara acuh tak acuh "Ayah tengok sama sahaja
kedua-duanya."
6. Pastikan Anak Anda Berasa Dihargai
Seorang pakar psikologi kanak-kanak pernah berkata,
"Tiada orang lain yang boleh membentuk harga diri seseorang anak sebaik
yang boleh dilakukan oleh ibu bapanya. Sebagai ibu atau bapa, membuat anak anda
berasa istimewa, dihargai dan disayangi adalah salah satu tugas anda yang
paling penting."
Mendidik anak sekaligus membuat dia merasakan dirinya
disayangi dan dihargai tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Anak anda
tidak perlukan barang mainan yang mahal atau jamuan hari jadi yang disambut di
hotel lima bintang untuk merasa dirinya disayangi. Yang penting ialah
perkara-perkara kecil yang anda lakukan setiap hari.
- Artikel iluvislam.com

No comments:
Post a Comment