Saturday, November 16, 2019

Keliru tentang Masjid Al-Aqsa, Inilah Fakta tentangnya


MASJID al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam, masjid yang kedua dibangunkan di muka bumi setelah Masjidil haram, beza masa pembinaan antara keduanya 40 tahun dan merupakan masjid yang ketiga mulia di sisi Allah SWT. Nabi Muhammad s.a.w dibawa ke Masjid Al Aqsa dan mengimamkan solat bersama 124000 jemaah yang terdiri dari roh para nabi dan rasul.

Namun begitu, masih ramai di kalangan umat Islam yang masih keliru dengan beberapa fakta mengenai Masjid al-Aqsa. Saya adalah salah seorang. Memandangkan ia merupakan tempat penting umat islam dan akhir zaman ada perjuangan besar, panjang dan berliku yang bakal kita hadapi disisinya marilah saya ceritakan serba sedikit.

Masjid Al Aqsa merupakan satu kompleks yang memiliki 5 masjid, persekitarannya dipenuhi pohon-pohon zaitun, disekelilingnya terdapat tembok tembok batu lama, untuk memasuki tempat ini terdapat beberapa Gates yang dikawal tentera yahudi, keluasan kompleks adalah 144 000 kaki persegi (36 ekar)

1) Dome of The Rock


Masjid yang mempunyai kubah berwarna kuning keemasan ni ialah Masjid Qubbah As-Sahra’ atau Dome of the Rock . Ia juga kadang-kalanya dipanggil sebagai Masjid An-Nisaa (Masjid Wanita) kerana kerap digunakan oleh para jamaah wanita di zaman sekarang.

Bangunan masjid ini telah dibina oleh Khalifah Umayyah, Abdul Malik Bin Marwan pada tahun 69-75 Hijrah ditengah-tengah kompleks, merupakan tempat paling tinggi di atas bukit. Kubahnya disalut 200kg emas. Sultan Sulayman dari kerajaan Uthmaniyyah telah meletakkan marmar cantik dari istanbul pada dinding luar masjid 955 Hijrah.

Didalamnya terdapat batu tergantung yang ingin mengikut Nabi Muhammad s.a.w israk mikraj. Di bawah batu itu, terbentuk gua didalamnya sebelah kanan makam Al-Khidr, sebelah kiri Bab Al Khalil (pintu Hebron)

Gua di bawah batu tergantung

2) Masjid Qibli dan Masjid Bawah Tanah Qibli


Terletak dibahagian Selatan kompleks al-Aqsa. Dibina kembali mengikut seni bina islam oleh Khalifah Al Walid bin Abdul Malik bin Marwan pada tahun 90-96 Hijrah.

Saya mula jatuh cinta dengan masjid ini setelah memasuki masjid umar 1 dan makam Arbain yang terdapat dalam masjid ini. Kedua dua tempat tersebut mempunyai aura yang kuat.

Masjid umar mempunyai mihrab serta tiang sejak dari zaman Rom. Dikiri kanan terdapat ruang kecil bertingkap, sesuai untuk bersuluk sambil ditiup kesejukkan angin. Makam Arbain pula, dipercayai tempat berkumpulnya 40 wali wali dari Syams. Di sebelahnya terdapat mihrab Nabi Zakaria. Kedua dua tempat ini, diadakan majlis zikir pada hari Jumaat.

Masjid ini pernah dibakar oleh Yahudi Dennis M.W Rohan pada Ogos 1969. 1500 meter persegi keluasan masjid hangus terbakar. Suatu hari saya turun ke masjid bawah tanah ini, seorang penjaga Al Aqsa telah membawa kesebuah bilik berkunci, kami masuk dan dia mengeluarkan sehelai kain lama, terdapat kesan kesan bakar pada kain itu. Saya membawa balik ke Malaysia sebagai kenangan dari Al Aqsa.

Di bawah masjid Qibli...


Terdapatnya masjid bawah tanah, telaga zaitun dan perpustakaan Al Aqsa. Dipercayai masjid ini diatas tanah suatu ketika dulu, akibat beberapa kali gempa bumi, masjid telah jatuh ke bawah tanah. Tiang tiang masjid dari batu batu kuno besar, menggerutu kukuh, dipercayai semasa pembinaan zaman Nabi Sulaiman, tiang ini diusung jin.

3) Masjid Bawah Tanah Marwani


Kedudukkannya diselatan kompleks, disebelah masjid Qibli. Keluasannya 3750 meter persegi. Dibina oleh khalifah Abdul Malik bin Marwan, kemudiannya disambung oleh anaknya Khalifah Al Walid.

Didalamnya terdapat buaian Nabi Isa as, yang juga merupakan tempat mihrab Maryam ibunya. Terdapat banyak tempat suluk ahli sufi didalam masjid Al Marwani. Mereka beribadah dan mengasingkan diri dari dunia. Merupakan tempat iktikaf semasa Ramadhan.

Mihrab Maryam dan Buaian Nabi Isa as

4) Masjid Bawah Tanah Buroq


Dinamakan masjid buroq kerana dipercayai Nabi Muhammad s.a.w menambat Buroq ketika peristiwa israk mikraj. Terdapat satu gelang kecil didinding masjid, dipercayai tali buroq diikat disitu.

Disekitar masjid Al Aqsa terdapat 37 perigi bagi membekalkan air sekitar Al Aqsa dan penduduk Jerusalem, Zawiyah Al Khidr, diatasnya terdapat Kubah Al Khidr, adanya batu hitam menyerupai sejadah, tempat Nabi Khidr bersembahyang. Terdapat juga penjara jin jin jahat yang di buat ketika Zaman Nabi Sulaiman. Diatas penjara inilah, imam Ghazali menyiapkan tulisan kitab ihya ulumuddin.

Mari kita fokuskan pemikiran, usaha dan doa agar kita semua dipilih oleh Allah SWT sebagai hamba-hambaNya yang istimewa sebagaimana diberikan kepada generasi terdahulu yang mengiringi Umar al Khattab dan Solahuddin al-Ayyubi yang telah berjaya membebaskan Bumi Suci umat Islam ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...